Profil Sekolah


SEKOLAH KEBANGSAAN SERI MAAMOR

PT GUNTUNG, 83600 SEMERAH, BATU PAHAT

JOHOR DARUL TAKZIM




Sejarah Sekolah

Dengan berbekalkan semangat untuk memberikan pelajaran serta keperluan asas kanak-kanak setempat, maka pada tahun 1948 penduduk-penduduk kampung Parit Lubok, Parit Guntung dan Parit Sangit di bawah pimpinan Ketua Kampung iaitu Allahyarham Tuan Haji Masri bin Haji Salleh telah berunding untuk mendirikan sebuah sekolah.

Seorang dermawan yang jasanya tidak akan dilupakan, tampil mewakafkan sebahagian dari kebunnya untuk dijadikan kawasan bangunan sekolah. Lot 3026 seluas 3 ekar. Dermawan tersebut ialah Allahyarham Tuan Haji Abdul shukur bin Haji Johari. Bahan-bahan pembinaannya pula telah disumbangkan oleh seorang lagi dermawan yang besar jasanya iaitu Allahyarham Encik Hashim bin Haji Noh yang mendermakan pokok-pokok kayu dari kebunnya untuk dibuat tiang, lantai serta dinding bangunan sekolah.

Sekolah Melayu Seri Maamor siap untuk digunakan pada 15.11.1948 bagi menampung kanak-kanak dari sekitar kampung Parit Guntung, Parit Lapis, Parit lubok, Parit Sangit, Parit Gantong, Parit Bisu dan Parit Kuda. Bangunan sekolah tiang kayu bulat dan beratapkan rumbia ini hanya seluas 80 kaki x 24 kaki. Seri Maamor adalah nama yang diilhamkan oleh Allahyarhan Dato’ Syed Esa bin Syed Alwi. Nazir Sekolah-sekolah Daerah Batu Pahat ketika itu. Nama itu adalah sempena kemakmuran kawasan ini sedangkan di tempat-tempat lain sedang menghadapi zaman darurat oleh kebimbangan serangan komunis.

Guru pertama yang juga Guru Besar iailah Tuan Haji Abdullah bin Haji Mohammad dengan digaji $ 41.00 disamping mendapat bantuan tambahan dari penduduk kampung. Allahyarham bertugas sehingga akhir tahun sahaja. Pengganti beliau pula ialah Allahyarham Cikgu Abdul Manan bin Sulaiman. Pada tahun 1950 sekolah ini telah mula mendapat bantuan berjumlah $ 600.00 dan diikuti pada tahun 1955 sebanyak $ 500.00 dan pada tahun 1956 berjumlah $ 700.00 pula. Tanggal 11.9.1952 Tuan Haji Jasmon bin Haji Said mula berkhidmat sebagai Guru Besar yang baru pula. Semasa pentadbiran beliau ini, pembesaran bangunan sekolah kepada ukuran 150 kaki x 24 kaki dilakukan.

Malang tidak berbau. Ribut kencang yang melanda kawasan ini telah merobohkan bangunan hasil keringat penduduk kampung itu. Peristiwa ini berlaku pada 22.8.1959. Namun begitu semangat anak watan tetap teguh. Merek bersama-sama menggembeling tenaga membina bangunan baru. Bangunan ini bertiangkan batang kelapa yang dibelah empat serta saki baki runtuhan dengan berlantaikan tanah gambut. Bangunan yang saiznya lebih kecil dengan beratapkan daun rumbia itu dibina di pinggir hadapan padang. Yang Berhormat Allahyarham Dato’ Sulaiman bin Abdul Rahman telah bermurah hati menyumbangkan $ 500.00 pada tahun 1959 bagi membaiki bangunan yang daif itu. Sementara Pejabat Pelajaran Daerah menyalurkan bantuan sebanyak $ 600.00 pada tahun 1960. Seramai 277 orang murid sedang belajar di waktu itu dengan 9 orang guru. Pada tahun 1960, Kerajaan Negeri telah berusaha mendirikan sebuah bangunan 120 x 24 kaki untuk 4 bilik darjah di tapak bangunan yang roboh itu. Pengangkutan menjadi masalah yang paling rumit . Sekali lagi penduduk-penduduk kampung telah bergotong-royong mengangkut bahan binaan seperti batu, simen, pasir serta blok dinding dengan menggunkan jalur.

Seterusnya, suasana nikmat kemerdekaan mula dikecapi di sekolah ini apabila kerajaan meluluskan pula bangunan separuh batu pada bulan Oktober 1961. Bangunan ini berukuran 90 x 24 kaki untuk 3 bilik darjah dibina di belakang bangunan yang ada dengan 2 bilik air atau tandas yang berasingan. Ketika itu sekolah ini dikenali dengan Sekolah Umum Seri Maamor. Pada tahun 1962 nama sekolah ini ditukar pula kepada nama Sekolah Kebangsaan Seri Maamor.

Mulai pertengahan 1962 Tuan Haji Muhi bin Aini mengambil alih jawatan Guru Besar menggantikan Tuan Haji Jasmon sehinggalah awal 1965. Kemudian, Allahyarham Encik Hashim bin Talib menggantikannya hinggalah akhir tahun 1970 apabila Allahyarham Encik Shariff bin Musa mengambil alih tugas sehingga tahun 1977.

Bangunan separuh batu yang dibina pada bulan Oktober 1961 kian uzur sedikit demi sedikit. Pada tahun 1979 pihak JKR telah membuat kajian dan mengesahkan bahawa bangunan tersebut tidak selamat digunakan lagi. Lanjutan dari itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan $ 150,000.00 untuk pembinaan sebuah bangunan sekolah 2 tingkat yang mengandungi 4 bilik darjah, bilik pejabat, bilik Guru Besar serta tandas dan setor. Disebabkan laluan pengangkutan yang sukar, maka kerja-kerja pembinaan telah tergendala apabila kontraktor menuntut bayaran lebih tinggi. Guru Besar pada ketika itu ialah Tuan Haji Baharum bin Haji Idris. Akhirnya peruntukan berjumlah $ 233,931.00 untuk membina bangunan itu, termasuk kelengkapan perabut. Bangunan kantin juga didirikan dengan bangunan induk itu serentak. Menjelang 1981 ianya siap dan pada hari Jumaat 1hb. November 1985 YAB. Dato’ Abdul Ajib bin Ahmad, Menteri Besar Johor telah menyempurnakan Majlis Perasmian bangunan baru ini. Serentak dengan itu YAB Menteri Besar juga meluluskan peruntukan $ 60,000.00 bagi pembinaan bangunan Pusat Sumber Sekolah. Bangunan tersebut siap pembinaannya pada tahun 1986. Guru Besar ketika itu ialah Encik Abdul Ghani bin Jamhari yang kemudiannya diganti oleh Tuan Haji Edros Bin Mastani pada akhir tahun 1987 hinggalah beliau bersara pada bula april 1994.

Begitulah rentetan peristiwa dengan rangkaian tokoh-tokoh berjasa yang silih berganti menabur bakti bagi kemajuan anak-anak warian. Amal baktimu hanya Allah jua yang membalas.